好好学数字

学数字

Blogger templates

Blogroll

Belajarlah...

menghafal huruf

belajar suku kata terbuka

Latihan Pemulihan Huruf Vokal

Latihan PEMULIHAN HURUF VOKAL
  • Guru Pemulihan Khas Ialah Pendidik Istimewa

    Selain guru pendidikan khas, golongan pendidik yang saya kagumi ialah guru pemulihan khas (GPK). GPK ialah pendidik istimewa kerana mereka mendidik murid yang istimewa juga. Pada saya, mereka beruntung kerana dapat melaksanakan usaha untuk mencelikhurufkan murid istimewa, yang lebih dikenali sebagai murid pemulihan.

    Tugas sebagai GPK penuh dengan kekangan, cukup mencabar dan memerlukan kesabaran yang amat tinggi. GPK perlu menumpukan perhatian yang istimewa kepada murid secara individu. GPK juga menggunakan begitu banyak masa untuk melakukan persediaan sebelum masuk ke bilik darjah.

    Saya yakin, setiap GPK mempunyai hasrat yang amat tinggi untuk melihat murid mereka menguasai a-b-c dan kembali ke kelas perdana. Untuk mencapai hasrat itu, mereka melakukan berbagai-bagai usaha. Antaranya termasuklah mencari jalan untuk memahami dan mengintimi murid, keluarga murid dan persekitaran murid. GPK juga mesti memanfaatkan pengetahuan psikologi ketika berhadapan dengan murid. Tidak ketinggalan, pelbagai pendekatan, kaedah dan teknik mereka gunakan untuk mencelikhurufkan murid.

    Pihak berwajib menilai penat lelah GPK sama seperti guru biasa. GPK tidak menerima elaun kritikal seperti yang diterima oleh guru pendidikan khas. Mereka juga tidak menikmati bayaran intensif seperti yang diterima oleh guru yang mengajarkan mata pelajaran tertentu dalam dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

    Namun, GPK tetap bersemangat melaksanakan tugas mereka. Semangat itu membara apabila mereka menyedari bahawa tugas mereka itu amat mulia. Sementelahan, murid yang mereka bimbing itu termasuk dalam golongan istimewa, selepas golongan teristimewa, iaitu murid kurang upaya. Jadi, GPK wajar berasa puas melihat anak didik mereka dapat menguasai a-b-c, suku kata, perkataan dan seterusnya dapat membaca, menulis dan mengira. Kepuasanlah nilai untuk penat lelah mereka.

    Saya yakin, GPK amat menyayangi murid mereka. Kasih sayang mereka terhadap murid pemulihan adakalanya melebihi kasih sayang terhadap anak sendiri. Dalam beberapa kes yang saya dengar, dan ada juga yang saya saksikan sendiri, murid pemulihan juga pandai membayar harga kasih sayang GPK secara tunai.
    Sebagai contoh, umumnya murid pemulihan memberikan sambutan yang istimewa terhadap apa-apa sahaja arahan atau permintaan GPK. Mereka melakukan aktiviti pembelajaran dengan bersungguh-sungguh atas dasar kasih akan guru mereka. Dengan perkataan lain, murid pemulihan tidak mahu guru mereka susah hati apabila mereka tidak dapat menyempurnakan apa-apa aktiviti yang diberikan.

    Sebenarnya, banyak contoh lain yang menunjukkan murid pemulihan menyayangi GPK. Bersalam dan mencium tangan guru, menyapa atau melambai guru dengan penuh rasa mesra, dan menghadiahkan hasil kebun atau ternakan kepada guru adalah contoh yang pernah diceritakan kepada saya. Inilah antara kepuasan GPK, walaupun mungkin tidaklah sepuas mereka yang menerima elaun kritikal atau bayaran insentif setiap bulan.

    Alangkah baiknya jikalau kita dapat berkongsi kisah benar GPK melalui wadah blog atau Facebook!
    Suatu masa nanti, GPK muda akan berumur juga. Pada masa itu pasti ada GPK berusia itu cuba menyorokkan air mata gembira apabila ada murid pemulihan menyatakan rasa terhutang budi yang teramat sangat kepada cikgu yang mencelikhurufkannya. Pasti GPK berusia itu terharu apabila mantan muridnya menyatakan kepada hadirin bahawa tanpa kehadiran GPK dalam hidupnya, keselesaan hidup yang mula dinikmatinya itu tidak mungkin diraih.

    Oleh hal yang demikian, kepada semua GPK muda, teruskan usaha cikgu untuk mencelikhurufkan dan memandaikan murid dengan ikhlas dan penuh kesungguhan. Kongsikan cabaran dan kejayaan cikgu. Catatkan pengalaman suka duka cikgu sebagai GPK dan siarkan di blog atau Facebook. Saya berminat untuk membaca catatan pengalaman cikgu.
    Oleh: Mohd Isa Abd Razak [Blog Sambung-menyambung]

0 comments:

Post a Comment